Susah Sangatkah Nak Berbuat Baik Pada Keluarga Sendiri?

Ketika menulis entri ini, saya baru sahaja pulang dari rumah Kak Long saya. Jarak antara rumah saya dan Kak Long tidaklah terlalu jauh. Perjalanan dalam 15 minit je. Semenjak kebelakangan ini saya memang sentiasa menghubungi keluarga saya dan cuba memperbanyakkan aktiviti bersama mereka.

Saya rasa keluarga saya mesti agak hairan dengan perubahan sikap saya. Maklumlah sebelum ini saya tidak bersikap sebegini dan saya akui kadangkala saya bersikap agak selfish.

Salah satu punca perubahan sikap saya ni adalah apabila saya terbaca beberapa artikel tentang hubungan kekeluargaan dan mula menyedari bahawa kadang-kadang kita lebih menjaga hati rakan-rakan ataupun orang yang tidak dikenali berbanding hati ahli keluarga sendiri.

Sebagai contoh, katakanlah kita berkenalan dengan seorang rakan baru, kita akan bercakap dengan baik, ramah dan cuba sedaya upaya untuk menjaga hati kenalan baru kita. Tetapi apabila melibatkan ahli keluarga sendiri, kita tidak segan silu bercakap kasar, membuat perkara-perkara yang menyakitkan hati dan juga membuat tindakan-tindakan yang mementingkan diri sendiri.

Kalau kita boleh berbuat baik dengan orang yang baru dikenali, kenapa kita tidak boleh berbuat baik pada ahli keluarga yang telah sama-sama membesar dengan kita dan telah banyak memberi tunjuk ajar, sokongan dan dorongan kepada kita?

Tambahan pula, bila anak-anak semakin membesar saya mula menyedari betapa pentingnya kita menunjukkan contoh yang baik kepada mereka. Jikalau hubungan kita dan adik beradik kita tidak baik, bagaimana kita nak mendidik anak kita agar berbaik-baik sesama mereka? Bak kata pepatah, “Action speaks louder than words”.

Suami saya juga sangat menyenangi perubahan sikap saya ini kerana dia sendiri mempunyai hubungan yang rapat dengan adik-beradiknya. In fact, dialah yang banyak menasihatkan saya agar menjaga hubungan dengan adik-beradik kerana apabila kita semakin berusia nanti, selain anak-anak, adik-beradiklah orang yang paling rapat dengan kita dan akan bersama kita semasa susah atau senang.

Akhir kata, berbuat baiklah kepada ahli keluarga kita kerana mereka merupakan anugerah Allah kepada kita…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *