Jom Didik Anak Jadi Pemurah..

Saya mengingati arwah umi saya (yang meninggal pada tahun 1996 pada usia 36 tahun) sebagai seorang yang sangat pemurah.

Bila ada tetamu, beliau sangat bersungguh-sungguh melayan tetamu dan pastinya akan masak sedap-sedap dan mengajak tetamu makan tengahari @ malam. Dan sebelum tetamu balik, dia akan bagi buah tangan samada kuih, buah dan sebagainya.

Pada suatu masa, ayah saya pernah menjual sejenis ubat gigi dan kat rumah saya ada banyak sampel ubat gigi yang bersaiz kecik.

Pada masa tu, bila ada tetamu datang dan tak ada buah tangan lain yang boleh diberikan, umi saya akan bagi ubat gigi ni. Pendek kata, dia taknak tetamu balik tangan kosong.

Betul sangat kata-kata Dr Fadzilah Kamsah, bahawa anak-anak lebih ikut apa yang dia nampak ibu bapa dia buat, berbanding apa yang ibu bapa dia cakap.

Sebab umi saya tak pernah nasihatkan saya untuk jadi pemurah, tapi dia tunjukkan melalui perbuatan.

Untuk saya pulak, antara cara yang saya gunakan untuk didik anak-anak menjadi pemurah adalah dengan menyediakan bekal yang lebih.

Kalau anak saya makan 3 keping nugget, saya akan bekalkan 6 keping. Kalau dia makan 2 keping karipap, saya akan bekalkan 4 keping. Selebihnya adalah untuk mereka berkongsi dengan kawan-kawan mereka.

Ini kerana, saya ingin mereka merasai keseronokan berkongsi sesuatu dengan orang lain.

Saya pernah berbual dengan seorang ibu yang bercerita tentang sifat kedekut anaknya dengan bangga dan tersenyum riang (di hadapan anaknya).  Dia seolah-olah setuju dan suka dengan sikap kedekut anaknya.

Pada pendapat saya, kalau boleh jangan ajar anak-anak menjadi orang yang kedekut. Kalau kita mendidik anak supaya kedekut dan berkira, dikhuatiri bila dah besar, dia akan jadi kedekut dan berkira dengan kita.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *