Kaedah Bisnes Yang Terbaik – Mencari Permintaan Sebelum Menghasilkan Produk

Pada hari ini saya telah mendapat projek membuat banner yang pertama. Sebenarnya saya telah membuat keputusan untuk mengambil tempahan banner sebagai satu cara untuk mendapat duit lebih bagi menyambut hari raya yang bakal menjelang. Memandangkan saya sendiri bukanlah seorang yang kreatif, saya telah mengajak seorang rakan sekelas saya di dalam kursus SKIT iaitu Hafizie sebagai partner saya di dalam projek ini.

Apa yang akan saya lakukan adalah mencari permintaan untuk tempahan banner, seterusnya saya dan Hafizie akan berjumpa dengan klien kami di ofis/kedai mereka dan Hafizie akan membuat design yang dikehendaki oleh klien di situ juga. Setelah klien bersetuju dengan design yang dibuat oleh Hafizie, kami akan ke kedai printing dan print banner tersebut. Seterusnya kami akan menghantar banner kepada klien.

Sebenarnya sebelum saya memilih untuk membuat bisnes sebegini, saya telah memikirkan beberapa idea untuk mendapat duit lebih. Antara idea awal saya adalah seperti berikut:

  1. Menjual juadah berbuka
  2. Membuat kuih raya

Namun begitu, akhirnya saya memilih untuk membuat bisnes banner kerana bisnes ini adalah bisnes yang paling selamat dan menguntungkan kerana banner dibuat mengikut permintaan dan tidak terdedah kepada risiko kerugian. Sebaliknya bagi 2 jenis perniagaan di atas, kemungkinan berlakunya kerugian adalah tinggi.

Keputusan saya ini juga dibuat berdasarkan ilmu yang telah saya pelajari di dalam kelas-kelas sebelum ini iaitu usahawan yang berjaya adalah usahawan yang mencari permintaan terlebih dahulu sebelum menghasilkan produk. Saya yakin saya telah membuat pilihan yang tepat dan saya berharap saya berjaya mengumpul wang secukupnya untuk membuat persiapan raya. Insya’Allah..

Kepentingan Matlamat & Perancangan Yang Jelas

Hari ini ada saya telah berjumpa dengan Pengurus Bahagian Keusahawanan di Biro Inovasi & Perundingan, UTM untuk membentangkan perancangan dan milestone saya untuk semester ini. Sebenarnya saya telah mendapat tugasan ini apabila saya berjumpa dengan beliau pada minggu lepas untuk meminta nasihat dan tunjuk ajar daripada beliau.

Memandangkan saya merupakan seorang pelajar yang sudah berkeluarga dan terpaksa membahagikan masa antara kelas, tugasan dan juga sebagai unit trust consultant, beliau telah mensarankan saya untuk menetapkan matlamat saya dan juga membuat perancangan yang jelas. Ini adalah untuk memastikan saya dapat membahagikan masa dengan sebaiknya mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dan juga dalam kerjaya saya. Sebelum ini saya memang merekodkan semua jadual harian dan juga perancangan bulanan saya. Namun begitu, ia hanya sekadar catatan appoinment atau aktiviti yang akan saya lakukan tanpa mencatatkan secara jelas matlamat yang ingin dicapai dalam tempoh tersebut.

Apabila saya mula menulis matlamat saya, saya mula merasakan betapa pentingnya tugasan ini. Ini kerana, saya mula sedar yang saya tidak mempunyai matlamat yang jelas sebelum ini dan saya terpaksa berfikir dengan mendalam apakah matlamat saya. Dan setelah saya berfikir untuk beberapa ketika, berikut adalah matlamat saya untuk semester ini iaitu dari sekarang sehingga Disember 2007 :

  1. Menghadiri semua kelas
  2. Menyiapkan semua assignment tepat pada waktu
  3. Mendapat idea perniagaan berasaskan IT yang benar-benar viable untuk Projek Sarjana
  4. Mendapat pangkat Agency Supervisor (Total sales melebihi RM500,000)

Berikut pula adalah perancangan saya bagi memastikan saya mencapai matlamat dengan jayanya.

  1. Menghadiri semua kelas/seminar yang ditetapkan

Memastikan jadual kelas/seminar tidak bertindih dengan mana-mana aktiviti lain

  1. Menyiapkan semua assignment tepat pada waktu

Membuat assignment sejurus selepas menerimanya

Menyiapkan assignment 2 hari selepas menerimanya

Berjumpa lecturer jika mengalami kesukaran

Meminta bantuan rakan jika perlu

  1. Mendapat idea perniagaan berasaskan IT yang benar-benar viable untuk Projek Sarjana

Membaca 3 buah buku seminggu

Berjumpa 2 orang pensyarah seminggu

Membaca surat khabar setiap hari terutama yang berkaitan dengan sains dan teknologi

Berjumpa 2 orang usahawan seminggu

  1. Mendapat pangkat Agency Supervisor (Total sales melebihi RM500,000)

Menelefon 5 prospek sehari

Berjumpa 10 prospek individu seminggu

Berjumpa 3 prospek korporat seminggu

Menghadiri roadshow

Update website from time to time

Membuat promosi secara online

Branding – Perkara Yang Perlu Dilakukan Dalam Perniagaan

Pada hari ini saya telah menghadiri satu seminar yang bertajuk “Seminar Peningkatan Produktivi Usahawan Wanita”. Memandangkan esok kita akan memulakan puasa Ramadhan, saya rasa sangat bersyukur kerana dapat makan makanan yang sungguh lazat dan PERCUMA (he.. he.. he..) pada hari terakhir sebelum berpuasa.  

Inilah antara perkara yang paling best tentang program Sarjana Keusahawanan IT (SKIT). Ini kerana pihak Universiti Teknologi Malaysia akan menghantar kami menyertai semua seminar yang melibatkan keusahawanan dan juga teknologi maklumat. Maklumlah kami semua ni kan bakal bergelar Usahawan Teknologi. Insya’Allah…. 

Terdapat empat tajuk yang dibentangkan di dalam seminar ini dan semuanya telah memberi maklumat yang sangat berguna sebagai bekalan saya untuk menjadi seorang usahawan. Antara tajuk yang menarik minat saya adalah tentang penjenamaan produk (branding) yang telah disampaikan oleh Pengarah Eksekutif kumpulan syarikat Noraini’s.  

Penjenamaan (branding) di dalam kamus Oxford bermaksud pemberian nama atau imej ke atas barangan atau servis supaya orang tertarik untuk membelinya. Sebagai contoh adidas, nike, toyota, sony dsb. Antara kebaikan penjenamaan adalah:

  1. Identiti korporat atau produk

– Meyakinkan orang tentang kualiti produk

  1. Memudahkan pemasaran

– Orang ramai akan membuat keputusan pembelian berdasarkan jenama

  1. Belanja A&P (advertising & promotion) lebih murah

– Syarikat yang mempunyai jenama yang popular hanya perlu mengeluarkan belanja untuk mengiklankan jenama dan tidak perlu mempromosi setiap produk mereka

  1. Elak pembaziran kemudian hari

– Jika sesuatu produk yang popular tetapi tidak mempunyai jenama, tidak mustahil ada pihak yang akan mengambil kesempatan dengan cara mengeluarkan produk yang sama dan seterusnya mempromosikannya secara besar-besaran.