Aplikasi The Law of Attraction untuk Kesihatan Anak

Sebelum tidur semalam, anak saya yang sulung (Muhammad Aidil Iqbal, 4 tahun) telah mengadu bahawa dia tidak sihat. Tubuhnya juga agak panas.

Sebenarnya saya baru sahaja mempelajari ilmu The Law of Attraction. Sebenarnya ilmu merupakan satu ilmu yang sangat hebat dan boleh diaplikasikan di dalam semua aspek kehidupan kita. Ilmu ini mengatakan bahawa apa yang kita fikirkan akan menjadi kenyataan (Toughts become Things). Dari sudut kesihatan pula, kita akan menjadi sakit jika kita fikir kita sakit. Sebaliknya kita akan menjadi sihat jika kita fikir kita sihat.

Saya mengetahui ilmu The Law of Attraction ini melalui seorang pensyarah saya yang telah mengesyorkan kepada saya dan rakan-rakan untuk melihat sebuah filem dokumentari yang berjudul The Secret yang telah mencetuskan satu fenomena di dalam kajian tentang kebolehan manusia.

Untuk mengaplikasikan ilmu ini, saya telah mengusap kepala anak saya sebelum tidur dan memberitahu anak saya bahawa dia seorang budak yang sihat. Selepas itu saya berjanji dengan dia saya akan membawa dia pergi berjalan-jalan di tasik yang merupakan tempat kegemarannya. Saya juga bercerita tentang aktiviti-aktiviti kegemaran dia yang telah kami lakukan bersama-sama seperti menaiki bot, menaiki kereta api, memberi makanan kepada ikan dan juga membuat aktiviti-aktiviti lain yang disukainya.

Anak saya sangat seronok mendengar cerita saya dan seterusnya dia tertidur.

Pagi ini, dia telah bangun tidur dalam keadaan yang sihat dan ceria. Saya yakin ilmu ini sangat berkesan. Saya juga akan terus mempraktikkan ilmu ini di dalam kehidupan seharian saya.

Bersedia Sepenuhnya Sebelum Berjumpa Prospek

Hari ini merupakan hari ketiga saya mengikuti roadshow di Angsana, Johor. Sebenarnya walaupun saya sudah memahami tentang kepentingan wasiat dan telah membuat wasiat, namun saya masih belum jelas tentang prosedur penulisan wasiat yang lengkap. Ini kerana selepas saya mengisi borang Wasiat Asas, saya terus submit borang itu kepada Ketua Pengurus saya tanpa bertanya lebih lanjut tentang prosedur seterusnya.

Memandangkan hari ini merupakan hari terakhir kami di Angsana, jadi strategi promosi kami adalah untuk menyebarkan flyers sebanyak mungkin kepada pengunjung Plaza Angsana untuk membuka minda mereka tentang kepentingan wasiat. Di wasiat itu juga kami menyertakan Nama dan No Telefon kami untuk dihubungi sekiranya mereka berminat untuk mendapat maklumat lanjut.

Semasa saya sedang sibuk menyebarkan flyers, sepasang pasangan suami isteri yang agak berumur telah datang berjumpa saya untuk mendapatkan maklumat lanjut. Sebelum itu, saya telah memberi flyer kepada mereka dan mereka telah berpatah balik ke tempat saya berada untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang prosedur menulis wasiat.

Pada masa itu barulah saya sedar yang saya pun tak tahu bagaimana prosedur seterusnya iaitu selepas mereka mengisi borang Wasiat Asas. Kebetulan pula rakan-rakan yang lebih berpengalaman tidak ada di kawasan yang berhampiran, jadi saya tidak dapat menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh 2 orang prospek yang betul-betul berminat dengan produk saya.

Saya pun meminta maaf kepada prospek dan telah meminta nama dan no telefon mereka untuk saya hubungi kemudian. Namun begitu mereka begitu kecewa dengan saya dan terus berlalu meninggalkan saya. Aduh, ruginya saya!

Pengajaran yang saya dapat dari perkara ini adalah supaya kita sentiasa bersedia sepenuhnya sebelum berjumpa prospek. Kita juga hendaklah betul-betul memahami apa jua produk yang kita jual. Semoga perkongsian ini dapat menjadi pengajaran kepada rakan-rakan semua.

Cari Kawan Dapat Bisnes, Cari Bisnes Tak Dapat Apa-Apa!

Hari ni merupakan hari kedua saya mengikuti roadshow di Angsana, Johor. Saya telah bertemu dengan seorang usahawan IT yang sedang giat mempromosikan produk beliau iaitu adsentral.com. Saya sangat tertarik dengan personaliti beliau sebagai seorang usahawan kerana beliau banyak berkongsi ilmu keusahawanan kepada saya. Antara kata-kata beliau yang tidak dapat saya lupakan adalah “jika kita cari kawan, kita akan dapat bisnes dan sebaliknya jika kita cari bisnes kita tak akan mendapat apa-apa”.

Saya rasa sangat tertarik dengan kenyataan beliau ni. Sebabnya bila saya fikir-fikir balik dan relate kenyataan ni dengan pengalaman-pengalaman saya yang lepas, memang inilah yang terjadi. Sebagai orang yang terlibat di dalam dunia bisnes ni, kadangkala kita hanya berkenalan dengan seseorang untuk mendapatkan bisnes semata-mata. Dan jika ini berlaku, sebenarnya prospek kita sendiri pun  sedar akan perkara ini dan dia pun rasa tidak selesa dengan cara kita.

Sebaliknya jika kita ikhlas berkawan dengan seseorang, walaupun kita tidak mempromosikan produk kita, tapi dia sendiri lebih berminat untuk tahu dengan lebih lanjut kerana dia ingin membantu kita.

Sekarang ni saya akan cuba praktikkan ilmu ni yang saya rasa sangat berguna untuk diamalkan di dalam apa jua bidang bisnes yang kita ceburi.