Penuhi Undangan Bagi Menunaikan Tanggungjawab Sesama Muslim

Pada hari ini saya dan suami telah menghadiri undangan ke majlis cukur jambul yang diadakan oleh teman sekerja suami bagi menyambut kelahiran cucu beliau yang ketiga.

Sebenarnya undangan itu bermula dari jam 3-5 petang tetapi kerana kepenatan setelah menjadi pengadil pertandingan Badminton di waktu pagi, suami saya tertidur dan terlupa tentang undangan ini.

Suami saya hanya teringat tentang perkara ini kira-kira pukul 6 petang semasa kami sekeluarga dalam perjalanan pulang selepas mengambil cermin mata baru saya di sebuah kedai yang berdekatan dengan kawasan perumahan kami.

Memandangkan kami tidak merancang untuk ke mana-mana selepas mengambil cermin mata saya, kami sekeluarga hanya berpakaian biasa yang bolehlah dikatakan sangat biasa dan tidak sesuai untuk menghadiri majlis tersebut.

Namun setelah berbincang, kami membuat keputusan untuk menghadiri majlis tersebut kerana tidak mahu menghampakan tuan rumah yang pastinya sudah membuat persiapan berdasarkan jumlah tetamu yang diundang.

Semasa kami sampai di rumahnya sekitar pukul 6.15 petang, tuan rumah menyambut kedatangan kami dengan sangat mesra dan mengucapkan terima kasih di atas kesudian kami menghadiri majlis ini.

Kami juga mendapati bahawa masih banyak lagi makanan yang belum terusik. Dan bila ditanya, rupa-rupanya jumlah tetamu yang datang adalah sedikit berbanding dengan jumlah yang dijemput.

Walaupun kami agak segan dengan penampilan kami sekeluarga yang sebenarnya ‘tidak sesuai masuk majlis’, tetapi kami merasa sangat gembira kerana dapat memenuhi undangan ini dan merapatkan hubungan antara kami dan rakan sekerja suami.

Rupa-rupanya inilah hikmah menghadiri jemputan/undangan yang dituntut oleh agama kita. Sebagai rujukan, di bawah ini saya nyatakan hukum menghadiri jemputan yang diambil dari laman web www.islam.gov.my

Sumber : http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=1686

Tajuk :

Hadiri Jemputan; Penuhi Undangan

Hadith :

Ibnu Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apabila seseorang kamu dijemput kepada jamuan makan hendaklah ia menghadirinya. Jika ia tidak berpuasa hendaklah ia makan dan jika ia berpuasa hendaklah ia berdoa untuk keberkatan yang menjemput.”

(at-Thabrani)

Huraian

Hukum memenuhi jemputan ke majlis atau jamuan adalah wajib sekiranya tiada perkara-perkara maksiat di dalamnya dan tiada keuzuran syar’ie kerana ia adalah satu daripada hak-hak Muslim. Walau bagaimana pun kewajipan memenuhi undangan tersebut juga bergantung kepada syarat-syarat yang tertentu. Antaranya orang yang dijemput tidak mempunyai keuzuran yang akan menghalangnya dari menghadiri undangan tersebut dan dalam majlis tersebut tidak ada perkara mungkar seperti disediakan minuman arak, mengadakan majlis tari-menari, alunan dari alat-alat atau bunyi-bunyian yang haram dan sebagainya. Jika didapati majlis tersebut mengadakan acara yang mungkar maka gugurlah kewajipan untuk menghadiri majlis tersebut.

One thought on “Penuhi Undangan Bagi Menunaikan Tanggungjawab Sesama Muslim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *