Bersyukur dan Hargailah Nikmat Kesihatan

Semenjak mengandungkan anak ketiga (bermula Ogos 2009), kesihatan saya memang sangat terganggu. Pada trimester pertama, saya mengalami sakit perut kerana masalah angin dan juga sakit di bahagian kiri ovari disebabkan cyst. Hasilnya saya hanya berpuasa selama seminggu sahaja pada bulan Ramadhan yang lepas. Pada masa ini juga, saya terpaksa menghentikan aktiviti bisnes cupcake dan juga kelas Iqra’ yang saya kendalikan.

Pada trimester kedua, masalah angin berkurangan tetapi saya sentiasa rasa sakit pada bahagian hempedu (terutamanya selepas makan) dan menyebabkan saya tidak boleh duduk (samada di atas kerusi atau bersila) dalam jangkamasa yang lama. Nak jalan atau berdiri lama-lama pulak, memang tak larat dan hasilnya saya banyak berbaring termasuklah semasa mengajar anak-anak membaca Iqra’ dan Al Qur’an.

Pada masa ini juga saya rasa terlalu mudah penat, bad mood dan tersangatlah anti sosial. Pada peringkat ini, saya memang malas berjumpa dengan sesiapa dan mengelakkan diri daripada berhubungan dengan orang lain; termasuklah para klien Unit Trust saya.

Saya tahu perkara ini pastinya akan menjejaskan bisnes saya tetapi saya memang tak dapat nak terangkan keadaan saya pada masa itu. Kalau diikutkan saya sudah mempunyai klien tetap yang akan melabur setiap bulan menggunakan wang EPF mereka. Tetapi disebabkan saya tidak ada mood untuk menghubungi dan berjumpa dengan mereka, ini menyebabkan jualan @ sales saya jatuh menjunam begitu juga dengan pendapatan saya.

Sekarang ini, saya sudah memasuki trimester ketiga dan usia kandungan saya mencecah 32 minggu. Keadaan kesihatan saya yang terkini?

Masih sama dengan trimester kedua. Rasa sakit pada bahagian hempedu masih ada, masih tidak boleh duduk lama-lama dan banyak habiskan masa dengan berbaring (dan tidur!). Saya juga boleh dikatakan masih anti sosial dan malas nak berhubungan dengan sesiapa kecuali ahli keluarga ataupun teman-teman yang rapat dengan saya.

Dan disebabkan kandungan saya makin membesar, saya semakin mudah penat dan tidak larat untuk melakukan kerja-kerja rumah yang simple seperti membasuh pinggan, menjemur dan melipat baju dan sebagainya. Mujurlah suami sangat memahami keadaan saya dan rajin membantu dengan kerja-kerja rumah.

Secara peribadi, saya selalu menganggap diri saya sebagai seorang yang SIHAT kerana saya memang susah dan jarang ditimpa penyakit. In fact, saya juga sangat sihat dan bertenaga semasa mengandungkan kedua-dua anak saya sebelum ini. Pada masa itu saya bekerja di sektor industri dengan waktu kerja yang panjang dan terpaksa bekerja mengikut syif. Namun saya memang sangat jarang mengambil MC walaupun ketika sedang mengandung.

Pada mulanya saya sangat tertekan dengan keadaan kesihatan saya ini. Namun selepas banyak membuat muhasabah diri dan mencari hikmah daripada keadaan ini, saya mula merasa insaf dan menerima keadaan ini seadanya.

Sekadar untuk berkongsi (mungkin dengan rakan-rakan yang berada dalam situasi yang sama dan merasa sangat stress), antara hikmah yang saya dapat daripada semua ini adalah:

1. Kita hendaklah bersyukur dan menghargai nikmat kesihatan.

Ramai orang yang SIHAT suka mengeluh dengan masalah-masalah yang dihadapi seperti masalah kewangan (paling popular), masalah rumah tangga, masalah di tempat kerja dll dan merasakan seolah2 masalah yang dihadapi mereka adalah masalah yang paling besar.

Sebaliknya jika kita bertanya pada orang yang tidak sihat, mereka hanya mahu sihat seperti sediakala kerana mereka yakin mereka mampu menghadapi sebarang masalah dengan kesihatan yang baik.

2. Janganlah memandang negatif pada orang yang tidak sihat.

Sebagai seorang yang merasa dirinya SIHAT sebab jarang ditimpa penyakit, saya akui kadangkala saya berpandangan negatif dengan rakan-rakan yang mempunyai antibodi yang lemah. Apabila mereka batuk atau demam, saya merasakan bahawa mereka tidak pandai menjaga kesihatan (kurang minum air dll) dan juga mereka memilih untuk menjadi tidak sihat.

Saya konon-kononnya beranggapan bahawa sakit itu lebih kepada psikologi berbanding fizikal dan mereka yang memilih untuk sentiasa sakit. Betapa sombongnya saya ketika itu…

Saya juga berpandangan negatif kepada rakan-rakan perempuan yang sedang mengandung dan seolah-olah terlalu manja dan mengada-ngada semasa mereka mengandung. Konon-kononnya saya sudah ada pengalaman mengandung sebanyak 2 kali dan saya sihat walafiat di sepanjang kandungan. Jadi saya merasakan mereka ini sebenarnya MALAS dan sengaja menggunakan alasan mengandung untuk mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak digemari. Jahat kan saya ni?

Sekarang apabila saya sendiri sudah mengalami pengalaman mengandung yang sukar, saya rasa lebih simpati dan empati kepada orang-orang yang tidak sihat terutamanya ibu mengandung. Ternyata musibah ini sedikit sebanyak telah berjaya membantu membersihkan hati saya.

3. Mengelakkan diri merasa takbur dan riak di atas kejayaan.

Jika sebelum ini saya pernah merasa riak di atas kejayaan yang dikecapi, sekarang saya mula sedar bahawa setiap kejayaan kita adalah di atas rahmat Allah s.w.t. Ini kerana, walau bagaimana hebatpun diri kita ini, tanpa kesihatan yang baik kita pastinya tidak mampu melakukan apapun.

Kalau diikutkan sekarang ini saya ada beberapa idea bisnes yang boleh dikatakan viable dan menguntungkan. Tapi disebabkan masalah kesihatan, saya terpaksa tangguhkan dulu perlaksanaannya.

Dari segi bisnes Unit Trust saya pula, saya yakin kebanyakan klien saya akan menambah pelaburan mereka jika saya berjumpa dengan mereka. Namun sehingga hari ini, saya tidak mempunyai kekuatan (fizikal dan mental) untuk berjumpa dengan mereka. Dan memandangkan pendapatan saya adalah dalam bentuk komisyen (berdasarkan jumlah pelaburan), pendapatan saya memang tersangatlah kurang berbanding sebelum ini.

Secara tidak langsung keadaan ini menyedarkan saya bahawa sehebat manapun kejayaan yang dikecapi oleh seseorang individu itu, ianya adalah disebabkan nikmat dan rahmat daripada Allah dan tidak patut dimegah-megahkan. Dalam hal ini, saya memujuk hati dan menganggap situasi ini sebagai satu cara Allah mendidik saya sebelum mengurniakan saya dengan kejayaan yang lebih besar. Insya’Allah..

Catatan Peribadi

Panjang lebar perkongsian saya pada hari ini. Ia sebenarnya lebih kepada catatan peribadi sebagai rujukan saya semasa saya sihat walafiat di masa akan datang. Kalau saya tidak menulis di sini, saya mungkin akan lupa akan iktibar di atas situasi ini.

Terlanjur catatan ini dikongsi dengan rakan-rakan, saya berharap sedikit sebanyak ia dapat menjadi pengajaran dan anda mendapat sedikit hikmah daripadanya..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *