Rakyat Johor Menyokong BA?

Masih berkisar tentang roadshow saya di Kompleks Sultan Abu Bakar, di sini saya ingin bercerita pula tentang satu isu yang amat menarik pada pandangan saya.

Memandangkan saya ke sana untuk membuat promosi produk pelaburan, ramai prospek yang meminta pandangan saya tentang situasi politik sekarang. Maklumlah, pulangan pelaburan adalah berkait rapat dengan keadaan politik semasa.

Dulu, orang Johor kebanyakannya memang terlalu fanatik dengan kerajaan Barisan Nasional. Tapi kini, boleh dikatakan semua prospek yang saya jumpa menyatakan sokongan terhadap BA (PAS, PKR & DAP).

Walaupun ada sesetengahnya yang langsung tidak mengundi, namun apa yang lebih menarik adalah, kebanyakan prospek saya yang telah memangkah BN pada PRU 2008 yang lepas juga menunjukkan sokongan terhadap BA.

Bila saya menulis begini, mungkin rakan-rakan sudah mula beranggapan bahawa saya menyokong BA dan anti BN. Sebenarnya tidak. Saya merupakan seorang rakyat biasa yang hanya inginkan yang terbaik di dalam negaranya.

Dan, pada pandangan insan kerdil seperti saya, setiap kerajaan yang memerintah memerlukan pembangkang sebagai pengawas yang akan meneliti setiap tindak tanduk mereka agar mereka sentiasa membuat kerja dengan betul dan tidak melakukan salah guna kuasa secara membabi-buta. Pembangkang juga akan memastikan kerajaan menjaga rakyat dengan baik. Dengan kata lain dengan adanya pembangkang, nasib rakyat lebih terbela.

Lihatlah contoh di Terengganu, selama berpuluh tahun sebelum kerajaan PAS dapat menawan Terengganu, apalah sangat yang boleh dibanggakan di Terengganu. Walaupun ianya kaya dengan minyak, tetapi rakyatnya tetap miskin. Yang kaya hanyalah Menteri Besar, para exco dan juga wakil-wakil rakyat BN.

Namun setelah PAS berjaya menawan Terengganu, BN mula sedar bahawa rakyat Terengganu tidak sebodoh yang disangka dan berjanji akan membangunkan Terengganu jika rakyat memilih mereka semula. Setelah BN berjaya memerintah semula di Terengganu, barulah kita nampak usaha kerajaan BN untuk memajukan Terengganu dan mereka juga lebih menjaga kebajikan rakyat.

Jika rakyat Terengganu tidak pernah memberi laluan kepada PAS, pastinya mereka tidak akan menikmati kesemua ini dan mereka akan terus kekal menjadi rakyat termiskin sepertimana nasib rakyat di negeri-negeri yang dulu, kini dan selamanya menyokong BN.

Semoga perkongsian ini dapat menyedarkan rakan-rakan anti-pembangkang bahawa pembangkang bukanlah musuh negara malahan ia membantu kita menikmati kehidupan yang lebih baik dan terjamin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *