Kisah Sedih Saya Sebagai Orang Tengah Yang Menjadi Mangsa Keadaan

Hari ini saya telah berada di dalam satu situasi yang berjaya membuat saya rasa geram sangat pada seseorang…

Alkisahnya semalam salah seorang adik saya telah berselisih faham dengan Kak Long saya. Secara tidak langsung saya menjadi tempat luahan perasaan kepada kedua-dua belah pihak yang bersilih ganti menelefon saya. Sebenarnya di dalam hal ini memang adik saya yang silap tetapi sedikit sebanyak Kak Long juga menjadi punca adik saya membuat kesilapan.

Untuk menjernihkan keadaan, saya menjadi pendengar setia dan cuba menenangkan kedua-dua belah pihak. Memandangkan adik saya sangat sedih dan tertekan, saya telah menyatakan padanya bahawa saya memahami perasaannya dan saya juga merasakan bahawa Kak Long juga turut bersalah di dalam keadaan ini.

Namun begitu saya juga memberitahunya bahawa kesilapannya lebih besar. Saya juga menasihatinya agar mengalah dan menerima teguran Kak Long seadanya kerana Kak Long telah banyak berkorban untuknya selama ini.

Pada pagi ini saya telah menghubungi Kak Long untuk mengetahui samada adik saya sudah berbaik-baik dengannya atau tidak, tetapi Kak Long pula menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan saya kerana menyokong adik saya. Rupa-rupanya semalam adik saya telah memberitahu Kak Long bahawa saya menyokong tindakan adik saya dan menganggap bahawa Kak Long yang bersalah di dalam hal ini. Aduss…. saya pulak yang terkena tempiasnya..

Kalau diikutkan saya rasa geram sangat pada adik saya kerana telah merosakkan hubungan baik saya dan Kak Long. Kenapalah dia tak cerdik sangat? Tak bolehkah dia terima bahawa kesilapannya lebih besar berbanding kesilapan Kak Long? Kenapalah dia perlu menjadi ‘penyampai’?

Sebenarnya saya memang sangat anti dengan para ‘penyampai’. In fact, jika ada rakan saya yang ‘menyampaikan’ berita kononnya ada rakan lain yang memburuk2kan saya, saya akan lebih berhati2 dengan ‘Si Penyampai’. Ini kerana rakan yang baik tidak akan cuba melaga-lagakan sahabat2nya.

Apa yang saya pelajari daripada peristiwa ini adalah:

1. Kadangkala lebih baik kita diam dan tidak menyatakan pandangan kita.

2. Adik saya memang seorang ‘penyampai’ yang berjaya dan saya akan berhati-hati dengannya selepas ini.

3. Saya tidak akan menjadi orang tengah lagi selepas ini samada secara langsung atau tidak langsung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *