Saya Sokong Adanya Baby Hatch

Kat bawah ni adalah artikel terkini yang dipetik dari Harian Metro Online.

Personally saya setuju dengan Baby Hatch ni. Memang betul kita kena bendung gejala sosial. Tapi kita pun kena ada satu sistem yang boleh bantu ibu-ibu yang mengandung luar nikah.

Pertama, untuk jaga keselamatan dan kebajikan ibu. Dan kedua, untuk jaga keselamatan dan kebajikan bayi.

Kalau boleh, bapa yang tak bertanggungjawab kena tangkap dan dikenakan hukuman. Biar lelaki-lelaki tak guna ni rasa lebih bertanggung jawab sebelum buat apa-apa pada anak dara orang.

Kesian sangat kat ibu mengandung. Terpaksa bawa perut. Pastu sakit bersalin. Pastu berada dalam keadaan tertekan. Memang jahat sangat lelaki yang buat macam ni pada seorang wanita.

Saya bukannya salahkan lelaki 100%. Wanita yang terlibat pun salah. Tapi tak adil kalau wanita je yang terpaksa menanggung beban ni.

Satu lagi, jangan terlalu mudah nak judge @ menilai wanita yang mengandung anak luar nikah. Memang betul dia telah buat satu kesilapan besar.

Tapi walau besar mana pun kesalahan yang dia buat, tak mustahil dia dah bertaubat dan darjatnya di sisi Allah jauh lebih baik dari kita.

 

Sayang anak terbuang

Oleh Michelle Gun

LINDUNG...Ketua Komuniti Ibu Bapa Orphan Care, Kim Rozali menunjukkan peti Baby Hatch di Orphan Care.
LINDUNG…Ketua Komuniti Ibu Bapa Orphan Care, Kim Rozali menunjukkan peti Baby Hatch di Orphan Care.

 

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,600 permohonan diterima dan berada dalam senarai menunggu Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (Orphan Care) daripada pasangan suami isteri yang ingin mendapatkan anak angkat.

Jumlah itu diperoleh sejak Orphan Care ditubuhkan pada 2008 dan sepanjang tempoh sama 400 pasangan sudah ditemuduga untuk menentukan sama ada mereka layak menerima anak angkat atau sebaliknya.

Penyelaras Perhubungan Kerajaan Orphan Care, Datin Elya Lim Adnan berkata, sejak kewujudannya hingga kini, pertubuhan bukan kerajaan itu (NGO) menerima 50 bayi termasuk tiga yang ditinggalkan di peti Baby Hatch.

“Baby Hatch atau peti perlindungan bayi tidak diingini ini diwujudkan dua tahun lalu dan setakat ini tiga bayi ditinggal di situ tanpa maklumat kelahiran biarpun kami menyediakan borang untuk diisi,” katanya.

Menurutnya, seorang daripada bayi yang sudah diserahkan kepada ibu bapa angkat itu ialah bayi cacat atau orang kelainan upaya (OKU).

“Bayi OKU itu kudung di tangan kanan dan sumbing. Dia kini menjadi anak angkat kepada pasangan yang sudah mempunyai anak dan tidak kisah terhadap kecacatan fizikalnya,” katanya.

Beliau berkata, kebimbangan terhadap keselamatan anak mungkin menyebabkan ramai individu tidak mahu meletak bayi mereka dalam Baby Hatch, sebaliknya memilih untuk menyerahkan kepada pegawai pusat berkenaan.

“Kami percaya individu yang meletak bayi dalam peti Baby Hatch tidak mahu mendedahkan maklumat yang mengaitkan diri dengannya,” katanya.

Katanya, Baby Hatch dilengkapi penghawa dingin, tilam dan bantal, lampu, kamera litar tertutup termasuk ‘sensor’ berat badan yang akan mengaktifkan penggera supaya penjaga pusat berkenaan mengetahui ada bayi diletak dalam peti itu.

“Pintu peti berkenaan tidak boleh dibuka semula selepas bayi diletak di dalamnya dan ini dilakukan sebagai langkah keselamatan untuk mengelak kanak-kanak itu diambil orang lain,” katanya.

Elya Lim berkata, Orphan Care juga membantu wanita hamil anak luar nikah untuk persiapan kelahiran bayi dan proses pendaftaran anak angkat termasuk kaunseling.

Menurutnya, berlaku kejadian seorang pelajar wanita sebuah institut pengajian tinggi enggan menyerahkan anaknya kepada keluarga angkat selepas melahirkannya.

“Pelajar berusia 20-an tahun itu mendakwa dia dipaksa melakukan hubungan seks oleh seorang kenalan lelaki yang sudah berumah tangga sehingga hamil.

“Pelajar itu memberitahu dia sering didera lelaki terbabit dan mengadu masalahnya kepada seorang rakan yang menghubungi kami untuk memberi bantuan sewajarnya,” katanya.

Katanya, bagaimanapun, selepas selesai proses pengambilan anak angkat, emosi pelajar itu terganggu sehingga sering menyatakan hasrat untuk bertemu semula dengan anaknya yang sudah pun diserahkan kepada keluarga angkat.

“Selepas menjalani beberapa sesi kaunseling, dia mula yakin bayi berkenaan dijaga dengan baik oleh keluarga angkat dan menerima hakikat itu,” katanya.

Sementara itu, Elya Lim berkata, ramai orang beranggapan Orphan Care seolah-olah menggalakkan pasangan belum kahwin menghasilkan anak luar nikah dengan penubuhan Baby Hatch.

“Tujuan Baby Hatch ini supaya wanita melahirkan anak luar nikah tidak membuang atau membunuh bayi yang tidak berdosa.

“Matlamat Orphan Care adalah untuk mengurangkan masalah pembuangan bayi. Sama ada Baby Hatch ada atau tidak, gejala ini tetap berlaku dalam masyarakat kita,” katanya.

Antara 2005 dan 2011, sebanyak 517 kejadian pembuangan bayi direkodkan di seluruh negara dengan 287 daripadanya ditemui mati.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/

One thought on “Saya Sokong Adanya Baby Hatch

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *