Kisah Peniaga Nasi Lemak Yang Lone Ranger

Semalam tak lalu makan dan langsung tak makan malam. Jadi pagi ni Mak Buyung memang lapar sangat.

Suami yang penyayang pun keluar pagi-pagi mencari Nasi Lemak untuk Mak Buyung.

 

Mak Buyung dah membayangkan kesedapan Nasi Lemak dari seorang peniaga ni. Malangnya kedai tu belum bukak pada pukul 7.30 pagi.

 

Nasi Lemak peniaga ni memang sedap. Pelanggan selalunya ramai. Peniaga ni tak ada pembantu. Dan demi mempercepatkan proses pembungkusan, ada pelanggan yang akan tolong kopek telur atau bungkuskan kuih kepada pelanggan lain.

 

Peniaga ni selalu bukak agak lambat. Tapi lambat pun, disebabkan sedap, habis jugak. Saya kenal peniaga ni 10 tahun yang lepas. Saya tak pasti bila dia mula berniaga. Mungkin dah lebih 10 tahun. Mungkin dah 15 tahun. Mungkin dah 20 tahun. Tapi masih di gerai yang sama. Dengan jumlah lauk yang sama.

Rasa sayang sangat sebab kalau ikutkan permintaan, memang tinggi sebab Nasi Lemak dia memang sedap.

 

Antara kelemahan yang saya nampak adalah..

 

Peniaga ni tak ada pekerja. One man show. 

Mungkin dia rasa sayang nak bayar gaji pekerja dan berkongsi keuntungan dengan orang lain.

Tapi ni antara kesilapan utama peniaga kecil yang saya nampak. Kedekut sangat nak gajikan orang. Semua nak buat sendiri sampai akhirnya dia terperangkap dan menjadi kuli kepada bisnes sendiri.

Bila dia bekerja sorang-sorang, pendapatan dia agak terhad.

Dan bila dia tak bekerja, dia tak ada pendapatan.

 

Ramai juga peniaga online yang macam ni. Berniaga dah lama. Pengikut dah ramai. Tapi taknak gajikan orang dan nak buat semua benda sendiri. Pastu mulalah lambat balas email @ mesej dari pelanggan. Lambat pos barang. Tersilap pos barang. Pos barang yang reject. Dan pelbagai lagi masalah yang akhirnya menyebabkan pelanggan serik untuk berurusan dengan dia.

 

Kepada rakan-rakan usahawan, saya nasihatkan anda untuk ambil pekerja. Niat ikhlas nak sama-sama berkongsi rezeki dengan dia. Anda dapat tolong orang. Anda dapat tingkatkan produktiviti. Anda tidak terikat dengan sesuatu kerja. Anda bebas untuk melakukan perkara yang lebih produktif. Dan yang bestnya, mereka juga ada idea-idea yang lebih hebat untuk melancarkan lagi urusan perniagaan anda.

 

Kepada semua yang sedang bekerja, hargai majikan. Memang majikan untung banyak. Tapi sebenarnya dalam kebanyakan bisnes, majikan pun tak ada gaji di awal perniagaan. Ada majikan yang tidak lena tidur berfikir macamana nak majukan bisnes. Macamana nak bertahan. Macamana nak terus kekalkan pekerjaan anda kerana mereka merasa bertanggungjawab untuk membantu anda.

 

Kalau rasa tak suka dengan majikan, berhenti dan cari majikan lain. Bagi peluang kepada majikan untuk membantu orang yang lebih memerlukan. Dan mungkin orang yang lebih menghargai peluang yang diberikan majikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *