Category: Tips & Motivasi Untuk Pencari Kerja

Tips Untuk Para Pencari Kerja : Rezeki Halal Ada Di Mana-Mana

Sumber  :  Utusan Malaysia  13 Februari 2009

KEGAWATAN ekonomi sekarang menyaksikan ramai yang dibuang kerja. Sehingga 29 Januari lalu, seramai 10,000 orang telah diberhentikan. Jumlah itu jauh lebih tinggi daripada jangkaan awal iaitu sekitar 4,000 orang yang akan dibuang kerja dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Walaupun ada usaha di pihak kerajaan untuk mendapatkan semula pekerjaan bagi mereka yang kehilangan mata pencarian ini, namun pastinya tidak semua daripada mereka akan mendapat kerja baru.

Justeru, sebagai warga negara yang memahami kesukaran yang dihadapi oleh kerajaan, kita tidak sepatutnya mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menyelesaikan masalah ini. Kita juga boleh berusaha sendiri demi mencari rezeki yang halal untuk menanggung diri dan keluarga.

Islam menuntut umatnya supaya bekerja mencari rezeki. Sekiranya seseorang itu gagal mendapat kerja “makan gaji”, dia perlulah berusaha sendiri. Perkara ini disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: “Jika kamu keluar (bekerja) pada waktu pagi dengan membawa kayu api untuk dijual (bagi mendapatkan rezeki) di pasar adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada seseorang, sama ada orang itu memberi atau tidak, tidak akan memberi berkat kepada kamu. Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.” (Riwayat Muslim).

Bila memperkatakan mengenai berusaha sendiri, ramai yang melihat perniagaan sebagai satu sumber pendapatan. Benar, ramai yang berniaga untuk mencari rezeki. Walaupun ramai yang mengimpikan untuk memiliki perniagaan bernilai jutaan ringgit, namun perniagaan secara kecil-kecilan juga mampu memberi rezeki kepada kita.

Seorang anak muda yang memiliki gerai burger pernah memberitahu penulis bahawa secara purata, dia berjaya menjual 100 bungkus burger dari 7 petang hingga 12 tengah malam. Penulis pun mencongak sendiri. Jika sebungkus burger memberinya keuntungan sebanyak 50 sen, dia akan mendapat RM50 sehari atau RM1,500 sebulan.

Itu belum dikira apa yang boleh dibuat oleh anak muda tersebut untuk menjana pendapatan di siang hari ketika gerai burgernya itu masih belum dibuka.

Penjual sate keropok lekor di luar kawasan sekolah anak penulis pula memaklumkan, dia boleh mendapat RM100 sehari dengan menjual sate dari sebuah sekolah ke sebuah sekolah lain.

Benarlah bahawa berniaga kecil-kecilan itu mampu menampung hidup mereka yang menceburinya. Berniaga untuk menjadi kaya-raya pula, adalah perkara yang berbeza.

Bagaimanapun, berusaha sendiri tidak terhad kepada berniaga makanan atau barangan semata-mata. Kita juga boleh menjual khidmat tenaga dan kepakaran kepada pelanggan. Malah, ia merupakan satu bentuk perniagaan yang lebih baik kerana ia tidak memerlukan modal tinggi dan tiada risiko kerosakan pada barangan yang hendak dijual. Kemahiran, kepakaran dan tenaga empat kerat adalah modalnya.

Kebanyakan suami isteri yang bekerja dan tidak mempunyai pembantu rumah, mengupah pencuci pejabat – yang terdiri daripada warga asing – untuk membersihkan rumah pada hujung minggu.

Biasanya, untuk sebuah rumah upahnya ialah RM50. Dalam sebulan ada lapan hari Sabtu dan Ahad. Ini bermaksud, seorang pencuci pejabat yang rajin boleh mendapat tambahan pendapatan sebanyak RM400 sebulan.

Seorang bekas pekerja kilang yang baru diberhentikan mungkin tidak teruja dengan jumlah gaji sebanyak ini. Namun, pendapatan sebanyak RM400 dengan bekerja hanya lapan hari sebulan adalah sesuatu yang lumayan. Banyak lagi yang boleh diusahakan pada baki 20 hari dalam masa sebulan itu.

Begitu juga, mereka yang ada rumput di halaman rumah tentu tahu betapa mahalnya upah untuk memotong rumput. Ini bermakna bidang itu juga ada potensi untuk diceburi. Tambahan pula ,rumput tidak pernah berhenti tumbuh sama ada suasana ekonomi gawat ataupun tidak.

Betul, ia memerlukan sedikit modal asas untuk membeli mesin pemotong rumput. Namun jika rajin, ia boleh menjadi sumber rezeki yang memuaskan.

Bahan buangan juga boleh memberi rezeki kepada kita. Seorang kenalan penulis mencari pendapatan tambahan dengan mengitar semula botol-botol plastik. Hasil jualannya itu kadangkala mencecah RM200 sebulan. Walaupun gajinya mencukupi untuk menanggung keluarganya, namun secara peribadi, beliau merasakan tiada salahnya untuk menambah pendapatan dengan cara sedemikian.

Jelas bahawa rezeki halal ada di mana-mana dan bukannya di dalam pejabat yang berhawa dingin semata-mata. Soalnya, apakah kita mahu mencarinya dengan apa cara sekalipun atau mahu menunggu rezeki itu datang bergolek?

Ia juga banyak bergantung kepada cara kita melihat peluang-peluang yang terbuka luas itu. Sekiranya kita melihatnya sebagai satu cara mencari rezeki halal yang dituntut agama, kita akan melihatnya sebagai satu peluang.

Sebaliknya, jika kita melihat usaha-usaha tadi sebagai pekerjaan yang memenatkan, tidak menjana banyak wang dan menjatuhkan air muka dan maruah, maka ia bukanlah pilihan sesuai untuk kita. Tetapi, tepuk dada, tanya selera.

SITI FATIMAH ABDUL RAHMAN

Felo Kanan IKIM

Faktor Sikap Merupakan Punca Graduan Menganggur

Sumber  :  Utusan Malaysia 2 Mei 2008

HARI ini, 1 Mei merupakan hari yang cukup bermakna bagi setiap insan yang berkerjaya. Hari ini diisytiharkan secara rasmi sebagai hari pekerja di seluruh pelusuk dunia. Di Malaysia tarikh ini diiktiraf sebagai hari kelepasan am untuk meraikan sumbangan setiap pekerja yang telah menjalankan tugas dengan amanah dan ikhlas.

Dewasa ini, negara kita bolehlah dianggap sebagai pusat syurga pekerjaan bagi pelbagai sektor. Buktinya, jutaan warga asing dari pelbagai negara mula membanjiri negara ini sejak kebelakangan ini untuk mencari sesuap nasi. Bermacam-macam cara dilakukan mereka agar dapat bekerja di bumi bertuah ini. Ada yang mengikut prosedur yang ditetapkan dan tidak kurang pula yang tidak mengikut undang-undang.

Bagi mereka yang memasuki negara ini yang tidak menurut lunas-lunas yang telah ditetapkan pihak berwajib, mereka dikategorikan sebagai pendatang haram. Oleh kerana begitu baiknya pihak pemerintah negara dan masyarakat Malaysia yang berperikemanusian dan berbudi bahasa, maka istilah tersebut telah ditukar. Mereka bukan lagi digelar pendatang haram sebaliknya cuma pendatang asing tanpa izin (PATI) atau pendatang tanpa izin (PETAI).

Walauapapun jua, mereka datang ke Malaysia dengan satu tujuan utama iaitu untuk bekerja. Apabila mereka bekerja mereka akan mendapat upah, gaji atau elaun. Berbekalkan gaji yang diterima, mereka mampu untuk menyara diri sendiri, keluarga dan dapat pula menghantar pulang sebahagiannya ke negara asal mereka.

Kesungguhan mereka menyeberangi lautan yang bergelora dengan bermacam-macam dugaan dan halangan banyak mematangkan para pendatang ini. Keberanian, kecekalan dan kesabaran mereka dalam menghadapi cabaran bekerja di rantau orang sepatutnya dijadikan iktibar bagi para penganggur terhormat di negara kita.

Kenapa masih terdapat puluhan ribu graduan yang tidak bekerja di negara kita? Ya, berbagai kajian telah dilakukan untuk mengkaji apakah faktor utama graduan masih belum mendapat kerja yang sesuai. Antara faktor yang dikenal pasti ialah sikap memilih kerja yang senang, kurang mahir berkomunikasi, tidak cukup pengetahuan, masalah bahasa antarabangsa, kurang pengalaman, ekspektasi yang terlalu tinggi dan penampilan yang tidak meyakinkan.

Dalam hal ini, faktor sikap didapati adalah punca utama kenapa ramai graduan masih lagi tidak mampu membuat kerja yang sesuai. Rata-rata mereka masih lagi mahu mencari pekerjaan yang mudah, dekat dengan rumah dan cukup bulan dapat gaji walaupun peluang pekerjaan tersebut amat terhad dan terpaksa bersaing dengan ramai orang.

Jika ditanya soalan kepada kebanyakan bakal graduan bumiputera apakah kerjaya yang menjadi pilihan utamanya selepas memperoleh ijazah nanti, mereka memberikan tiga pilihan. Pertama kerjaya di sektor awam, kedua kerjaya di sektor swasta dan pilihan terakhir kerjaya sebagai usahawan atau peniaga. Ini berbeza sama sekali dengan bakal graduan bukan bumiputera khasnya bangsa Cina. Mereka memilih kerjaya sebagai usahawan atau berniaga sebagai pilihan utama. Jika tidak mampu sebagai peniaga, baru mereka mencuba kerjaya dalam sektor swasta. Seterusnya jika masih gagal barulah mereka mencuba nasib dalam sektor awam.

Cuba bayangkan bagaimana mungkin golongan bumiputera mampu bersaing dengan bukan bumiputera dalam bidang perniagaan jika kita lihat senario serupa ini berlaku di negara kita. Usahawan bukan bumiputera menjadikan bidang ini sebagai pilihan pertama sedangkan bumiputera menceburi bidang ini setelah gagal mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta. Oleh itu kualiti kebanyakan usahawan bumiputera bukanlah dari kalangan graduan yang terbaik.

Sehubungan itu, pemikiran graduan sepatutnya perlu kepada suatu anjakan paradigma. Pihak universiti perlu membentuk sikap mereka untuk mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari untuk dipraktikkan selepas keluar dari menara gading.

Sebagai contoh kita ambil sikap dan mentaliti graduan ijazah sarjana muda dalam pendidikan Bahasa Arab di sebuah institusi pengajian pendidikan di Malaysia. Hari ini, kebanyakan mereka hanya berfikiran akan menjadi seorang guru sebaik tamat pengajian. Mereka berpendapat bahawa memasuki institusi pendidikan bererti kerja terjamin. Mereka begitu yakin akan dihantar ke sekolah-sekolah selepas menerima ijazah. Sehubungan itu apabila mereka tidak ditawarkan jawatan guru berikutan tiada kekosongan di sekolah-sekolah mereka menyalahkan pihak Kementerian Pelajaran kerana tidak merancang keperluan bidang pendidikan.

Dalam hal ini, jika graduan berfikiran bahawa dengan ilmu pendidikan Bahasa Arab yang dipelajari sebenarnya sudah memadai untuk mewujudkan peluang pekerjaan bukan hanya kepada beliau, malah kepada ramai orang di sekitarnya. Kenapa garaduan tersebut tidak mahu membuka kelas tadika yang pulangannya berlipat kali ganda berbanding menjadi guru sekolah? Apakah puncanya beliau masih sanggup menunggu tawaran menjadi guru sekolah walaupun terpaksa merayu, menggunakan nama-nama ahli politik dan sebagainya.

Sebenarnya, sesiapa yang mengikuti ijazah pendidikan Bahasa Arab memiliki peluang kerjaya yang terbuka luas. Nabi bersabda “Belajarlah bahasa Arab dan ajarkanlah kepada sekelian manusia” . Dalam hal ini, Nabi telah menyediakan pasaran yang cukup luas iaitu kepada sekelian manusia.

Hari ini, berapa ramai rakyat Malaysia yang boleh menguasai Bahasa Arab? Katakanlah sejuta orang (jumlah anggaran yang sangat besar) yang boleh menguasainya, anda ada 25 juta lagi yang memerlukan Bahasa Arab. Jika seorang menyumbang cuma seringgit, anda sudah ada 25 juta ringgit. Mengikut perkiraan, kos untuk menguasai peringkat asas bahasa Arab, seorang memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000. Oleh itu bidang asas Bahasa Arab ini sahaja sudah menyediakan peluang lebih 25 bilion. Bukankah pendidikan Bahasa Arab ini suatu industri berpotensi besar?

Berikut dinyatakan contoh bagaimana satu program bahasa Arab dapat menyumbang peluang pekerjaan kepada pelbagai pihak. Selamat bekerja. Buat kerja dan jangan asyik cari kerja.

Nervous Untuk Menghadiri Temuduga?

Hari ini saya ada satu tips bagaimana untuk menghilangkan nervous especially bagi rakan-rakan yang bakal menghadiri temuduga.

 

Sebelum anda hadiri temuduga, bayangkan interviewer anda adalah orang yang anda sayangi. Seterusnya bayangkan mereka menemuduga anda dengan penuh pengertian dan kasih sayang.

 

Anda juga boleh membayangkan perjalanan hidup interviewer anda iaitu keadaannya semasa dia masih kanak-kanak, perjalanan hidupnya sebagai seorang remaja, kisah percintaannya, kesedihan yang dialami di dalam hidupnya, perkahwinannya dan sebagainya..

 

Apabila anda mula membayangkan perkara-perkara ini, anda akan sedar bahawa orang yang anda takuti itu adalah seorang manusia biasa yang sama seperti anda. Walaupun sekarang mungkin berada pada tahap yang lebih selesa daripada anda, tetapi dia juga bermula di tahap yang sama. Oleh itu, tiada apa yang harus ditakuti.

 

Anda juga haruslah berfikir bahawa sebenarnya interviewer yang menemuduga anda turut sama nervous seperti anda. Mungkin dia sendiri baru sahaja dinaikkan pangkat dan masih tidak biasa menjalankan kerja. Mungkin juga dia hanyalah junior staff yang terpaksa menggantikan senior staff untuk menemuduga anda. Apa yang harus anda lakukan adalah bersikap tenang dan tunjukkan bahawa anda adalah setaraf dengan mereka dan anda boleh bekerjasama dengan mereka.

 

Satu perkara lagi yang perlu difikirkan adalah apabila sesebuah syarikat mengiklankan sesuatu jawatan kosong, ini bermakna mereka juga desperately looking for someone who can do the job. Jika anda dapat meyakinkan mereka yang anda pastinya dapat memikul tanggungjawab yang diberikan, mereka pasti tidak akan teragak2 untuk memilih anda.

 

Tips terakhir, andaikata anda tidak mendapat kerja yang dipohon, jangan terlalu bersedih. Most of the time, calon yang tidak diambil bukanlah kerana calon itu tidak berkelayakan. Sebaliknya, kadangkala interviewer merasakan bahawa kelayakan mereka adalah terlalu tinggi dan jika mereka diambil bekerja, pihak syarikat merasakan bahawa mereka tidak akan bertahan lama kerana pasti akan mendapat tawaran yang lebih baik.