Category: Luahan Rasa

Adakah Kita Mendidik Anak Menjadi Seorang Pembuli?

Semalam seorang kenalan saya telah berkunjung ke rumah. Walaupun saya suka menerima kehadiran tetamu tetapi setiap kali mereka berkunjung ke rumah, saya berasa tidak selesa kerana sikap anak-anaknya yang terlalu kasar dan agresif.

Semasa anak-anak saya dan anak-anak beliau bermain bersama, anaknya yang berusia 7 tahun telah menolak Adi ke dinding dengan kuat dan menyebabkan bibir Adi luka dan berdarah. Pada mulanya anaknya kelihatan takut dan ingin bersembunyi di luar rumah. The best part is, kenalan saya memanggil anaknya dan kata, “Takpe, ayah tak marah..”

Saya bukannya nak suruh dia marah atau pukul anaknya, tetapi pada saya at least suruhlah anak dia meminta maaf dan menasihatkan anaknya supaya tidak bermain dengan kasar. Bila dia bersikap begini, secara tidak langsung dia seolah-olah menyokong atau membenarkan tindakan anaknya.

Saya tidaklah menyalahkan anaknya 100% kerana saya faham perangai budak2. Kalau dah ditakdirkan bibir luka, Adi main sorang-sorang pun boleh kena jugak.. Tetapi sikap rakan saya ni betul-betul mengecewakan saya.

Bila jadi macam ni, teringat pulak saya kepada pepatah orang tua, “Sayang anak tangan-tangankan..” Dulu saya tak faham pepatah ni. Yelah, kalau sayang anak, kenapa nak kena pukul pulak, kan?

Tetapi bila saya menjadi ibu kepada dua anak lelaki yang sedang membesar ni, saya mula memahami bahawa kadangkala kita perlu memukul (read: berpada-pada) sebagai satu cara untuk mendidik mereka.

Berbalik kepada cerita saya tadi, jika beginilah cara rakan saya mendidik anak beliau, tidak mustahil satu hari nanti anaknya akan menjadi pembuli, kerana “Ayah tak marah…”

Jangan Malu Untuk Meminta Pertolongan Orang Lain

Hari ini saya telah menghubungi seorang rakan saya yang sedang terkial-kial menyiapkan tesis untuk pengajian Mastersnya. Sepatutnya dia dah menyiapkan tesis ini pada bulan lepas dan sudah selesai membuat pembentangan. Namun disebabkan tesisnya belum siap ditulis, maka dia tidak dapat membuat pembentangan pada semester ini dan kemungkinan besar dia terpaksa menangguhkan pengajiannya di semester hadapan.

Bukanlah niat saya untuk menyibuk. Tetapi saya rasa kasihan kepada rakan saya ini kerana beliau sepatutnya sama2 menamatkan pengajian bersama2 saya dan rakan2 yang lain pada April yang lepas. Namun begitu, disebabkan masalah percintaan (dan terlalu mengikut perasaan) dia telah menangguhkan pengajian. Yang lebih kasihan, disebabkan tidak mahu meminta pertolongan orang, nampaknya dia terpaksa menyambung pengajiannya selama satu semester lagi.

Kenapa saya nak menyibuk? Hehe… soalan mencabar ni.

Saya sebenarnya kesian kerana yuran pengajian kami sangat mahal (Hampir RM7000 satu semester) yang terpaksa ditanggung sendiri sekiranya pelajar menangguhkan pengajian. Sedangkan saya sangat mengenali rakan saya yang bukanlah berasal dari keluarga yang berada.

Pada bulan lepas, saya telah menghubunginya untuk mengetahui status terkini penulisan tesisnya dengan niat untuk membantu setakat yang termampu. Bila saya bercakap dengan dia, dia terus mintak tolong saya untuk datang berjumpanya pada malam tu jugak untuk membantu dia menyiapkan draf tesis kerana dia masih belum menyiapkan 2 bab. Bila saya tanya bila tarikh hantar. Jawapannya adalah “Semalam!”

Geram betul saya mendengarnya. Kalau ye pun nak mintak tolong, hubungilah saya atau rakan2 yang lain lebih awal. Janganlah mintak tolong selepas due date dan nak expect kita sama2 rushing untuk menyiapkan tesis dia. Dahlah saya ni sudah berkeluarga dan sedang mengandung, takkanlah saya nak menemaninya berjaga sepanjang malam untuk menyiapkan draf tesis yang sepatutnya disiapkan lebih awal.

Panjang pulak cerita saya ni kan? Kalau diikutkan, ceritanya lebih panjang tapi saya cuma nak rumuskan bahawa janganlah malu untuk meminta pertolongan daripada rakan-rakan anda. Sesungguhnya kita sebagai manusia yang lemah memang tidak boleh hidup sorang2. Ada masanya kita perlukan pertolongan daripada orang lain.

Mungkin ada orang yang merasa malu untuk meminta pertolongan orang lain. Namun begitu, percayalah bahawa bila kita meminta pertolongan seseorang, secara tidak langsung kita juga membantunya.

Macamana tu?

Macam ni… Bila rakan kita tolong kita, dia akan dapat pahala dan juga akan “feel good about themselves”. Cuba tanya diri kita sendiri, bila kita tolong orang secara ikhlas, adakah kita rasa gembira? Sudah tentu jawapannya adalah Ya! Begitulah juga perasaan orang lain yang menolong kita.

Kesimpulannya? Jangan Malu Untuk Meminta Pertolongan Orang Lain! (Tetapi Berpada2 La Ye!!)

Tulisan Yang Membuatkan Saya Menangis : Testimoni Anak Seorang Tahanan ISA

Hari ini saya nak berkongsi satu artikel yang baru saya baca di HarakahDaily.net yang merupakan catatan anak seorang tahanan ISA. Saya rasa sangat sedih selepas membaca tulisan beliau dan saya memang tidak dapat menahan air mata saya mengalir laju…

Setelah membaca catatan di bawah, saya pasti rakan-rakan akan merasai apa yang saya rasai.. Sedih, geram, marah, kecewa dan pelbagai perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata…

Sumber : Harakah Daily

Testimoni anak seorang tahanan ISA
Suhaib Mat Sah
Thu | Jul 30, 09 | 12:40:48 pm MYT

Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa. Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga.
Iklan

Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya……

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur…

Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis….

Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah… Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian….

7 tahun telah berlalu

Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.

Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau. Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya. Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah…

Bagaikan binatang di zoo

Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama. Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur… Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya…hati ini memang pedih yang teramat sangat.

Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut….

Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan… namun Abah masih tetap dikurung di Kem. Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan…

*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Dipetik daripada blog merdekareview – azm _