Pesanan Untuk Usahawan : Sentiasa Fikirkan Idea & Strategi Perniagaan Yang Baru!

Seperti yang rakan-rakan sedia maklum, semenjak mengandungkan anak ketiga bermula Ogos 2009, kesihatan saya tidak menentu dan ini telah membataskan pergerakan saya di dalam bidang unit trust.

Memandangkan saya tidak berapa sihat untuk ke mana-mana dan sering menggunakan internet, saya mula mendapat idea untuk memulakan perniagaan berasaskan internet seperti menjadi pemborong atau pengedar sesuatu produk dan menjualnya di internet.

Walaupun saya sedar bisnes sebegini memiliki persaingan yang tinggi (kerana sudah ramai yang menjalankan perniagaan ini), memerlukan modal yang agak tinggi (berbanding bisnes unit trust) dan juga berisiko (kerana barang mungkin tidak dapat dijual dan sebagainya), saya telah menghabiskan banyak masa untuk mencari maklumat tentang produk-produk yang berpotensi untuk dijual di internet.

Antara produk yang menarik minat saya adalah bisnes tudung, keronsang, blouse, t-shirt muslimah, pakaian kanak-kanak berjenama dari china, kasut crocs, lampin pakai buang dan pelbagai lagi.

Boleh dikatakan saya telah menghantar email kepada pemborong-pemborong barangan di atas untuk meminta quotation harga bagi memilih produk yang dapat memberi margin keuntungan yang tinggi dan juga senang dijual.

Di dalam proses mendapatkan maklumat dan membuat keputusan, pada suatu hari saya telah terbaca sebuah artikel yang ditulis oleh Shahbudeen Jalil. Bagi rakan-rakan yang belum mengenali Shahbudeen Jalil, beliau adalah pengasas syarikat Anzac Consultancy yang sering mengadakan seminar borong barang dari China dan juga menganjurkan rombongan lawatan borong ke China. Bagi saya, blog beliau sangat menarik kerana mengandungi banyak tips dan ilmu-ilmu keusahawanan yang disampaikan dengan cara penulisan yang sangat bersahaja tetapi memberi maksud yang mendalam.

Setelah membaca salah satu artikel beliau yang menekankan betapa pentingnya bagi seseorang usahawan untuk membentuk idea perniagaan baru dan bukannya mengambil jalan mudah untuk melakukan perniagaan yang telah dilakukan oleh peniaga-peniaga lain, saya berasa sangat terpukul dan mula menyedari bahawa secara tidak langsung saya hampir terjebak di dalam situasi ini.

Selepas membuat muhasabah diri, saya mengambil keputusan untuk kembali fokus kepada bisnes unit trust saya dan mula mengubah strategi bisnes saya. Memandangkan saya seorang pengguna internet yang aktif dan berkebolehan untuk membina website dan melakukan promosi secara online, saya mula mengatur strategi untuk memajukan bisnes unit trust. Apa yang saya lakukan adalah dengan menambahbaik laman web perniagaan unit trust saya dan juga meningkatkan kaedah promosi secara online.

Alhamdulillah, tidak sampai sebulan usaha saya telah menampakkan hasil yang sangat baik. Dengan mengubah strategi, saya mula mendapat pelabur-pelabur baru di seluruh Malaysia dengan hanya membuat penerangan melalui telefon dan YM. Malah, ahli kumpulan saya juga mula berkembang dan saya mula mendapat ejen baru di luar Johor.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini adalah untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, kita tidak boleh mengambil jalan mudah untuk melakukan atau meniru apa yang dilakukan oleh orang lain. Sebaliknya kita hendaklah berfikir dan merencana strategi perniagaan berpandukan minat dan kebolehan kita.

Di bawah ini saya sertakan tulisan asal Shahbudeen Jalil yang saya copy dari blog beliau ShahbudeenJalil.com. Semoga ia juga dapat menjadi panduan kepada anda.

Sumber : www.ShahbudeenJalil.com

Bagaimana Membentuk Idea Perniagaan Yang Baru ?

Ramai antara kita yang berminat untuk memulakan perniagaan dalam bidang yang sama di tempat yang sama dengan orang lain.

Ini pemikiran yang mudah, kerana kita nampak jelas apa yang orang lain lakukan dan kita percaya kita boleh buat perkara yang sama.

Kita akan mencuba sedaya upaya untuk bersaing dengan lawan yang telah lama dalam pasaran.

Lebih teruk lagi, apabila kita hanya memberikan apa yang sudahpun diberikan oleh orang yang sudah berada di pasaran tanpa sebarang pembaharuan.

Apa yang akan terjadi ?

1. Kita bersaing dan kalah

2. Kita bersaing dan dapat menguasai sedikit daripada pasaran sedia ada.

Kesimpulannya, kita tidak berjaya.

Peniaga yang berjaya akan menawarkan sesuatu yang baru. Baru tidak semestinya sesuatu penemuan baru seperti kereta terbang atau cermin mata yang boleh membaca mood manusia (walaupun ini juga tidak mustahil).

Menawarkan produk baru ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk

Contohnya,

Mengunakan kaedah penjualan yang baru – seperti kaedah Air Asia menjual tiket penerbangan secara mudah dan murah melalui penjualan online.

Menambahbaik produk sedia ada – seperti syarikat kereta yang mengeluarkan kereta berwarna. Pada asalnya, semua kereta berwarna hitam sehingga ada syarikat yang datang dengan idea bahawa kereta juga boleh berwarna.

dan pelbagai aspek-aspek lain yang boleh difikirkan mengikut aliran pemikiran pengguna.

Bagaimana untuk mendapatkan idea perniagaan yang baru ?

1. Fokus dan perhatian kemana aliran pemikiran pengguna dan teknologi sedang mengalir.

2. Cuba sediakan kemudahan untuk apa yang kita jangka akan wujud di masa hadapan.

Mungkin ramalan kita kurang tepat pada permulaannya, tetapi lama kelamaan kita akan membentuk satu kemahiran untuk meramal dengan ketepatan yang lebih tinggi hari demi hari.

Contohnya seperti sewaktu Google membeli syarikat Youtube. Syarikat itu dalam kerugian. Tetapi kenapa Google membeli syarikat yang tidak produktif ini ?

Kerana Google mempunyai ramalan bahawa :

1. Harga barangan komputer akan berkurangan dan lebih ramai orang akan menggunakan komputer.

2. Secara tak langsung, lebih ramai akan menggunakan internet.

3. Orang akan lebih suka menonton video berbanding hanya membaca perkataan-perkataan yang membosankan.

Ramalan Google tepat dan Google membuat keuntungan yang banyak melalui Youtube pada hari ini.

Jadi apa yang boleh kita lakukan hari ini ?

1. Lihat kemana dunia sedang bergerak.

2. Buat kajian dan ramalan.

3. Sediakan kemudahan yang kita jangka akan diperlukan di masa depan.

Sebagai orang yang memulakan, kita akan memperolehi banyak “first-mover advantage”

Sekian, terima kasih

Ikhlas,

4 thoughts on “Pesanan Untuk Usahawan : Sentiasa Fikirkan Idea & Strategi Perniagaan Yang Baru!

  1. najah

    i like!thanks for sharing!Masalahnya..bagaimana untuk meramal..mungkin perlu sedikit research untuk mendahului market sedia ada.Saya sedang dalam proses membuka pusat tuisyen dan masih tercari-cari identiti baru sebuah pusat tuisyen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *